Tuesday, April 27, 2010

PENDIDIKAN KESIHATAN HBHE 1203

Strategi Pengajaran
Strategi pengajaran adalah merujuk kepada cara-cara bagaimana guru mengendalikan sesuatu aktiviti pembelajaran dengan sistematik dan bukan dengan cara cuba jaya. Ia merupakan tindakan-tindakan spesifik yang dilakukan dengan sengaja oleh guru untuk mencapai matlamat-matlamat khusus dalam proses pembelajaran. Guru memerlukan kemahiran untuk merancang dan menguruskan kaedah dan teknik pengajaran supaya dapat disampaikan kepada murid-murid untuk memperolehi hasil pembelajaran maksimum. Aspek-aspek yang perlu diambil kira oleh guru semasa menentukan strategi pengajaran yang sesuai ialah objektif pengajaran, proses pengajaran, isi kandungan, persediaan dan kebolehan mengajar, gaya peribadi pengajaran dan persekitaran di dalam bilik darjah.
Antara contoh-contoh strategi pengajaran ialah strategi pemusatan guru, strategi pemusatan murid, strategi pemusatan bahan dan strategi berasaskan tugasan.
Dari segi strategi pemusatan guru, ia dikenali sebagai eksplisit. Ia merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah lama diamalkan di dalam bilik darjah. Strategi pemusatan guru ini meletakkan guru ditengah-tengah aktiviti bilik darjah. Dalam strategi ini, guru perlu menguasai dan mengawal segala aktiviti pembelajaran. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru memainkan peranan yang penting sedangkan murid hanya berperanan sebagai penonton sahaja. Bentuk komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah sehala. Guru banyak bercakap dan murid banyak mendengar. Ciri kepimpinan guru juga bersifat autokratik. Murid-murid tidak berpeluang menyumbangkan pendapat mereka. Guru yang banyak bertindak dan memberi arahan. Strategi pengajaran dan pembelajaran pula lebih mengutamakan pencapaian objektif pengajaran guru. Penyebaran ilmu pengetahuan lebih diutamakan daripada penyebaran nilai-nilai murni dan perkembangan emosi oleh guru.

Strategi ini mementingkan pencapaian murid-murid berdasarkan keputusan ujian dan peperiksaan. Teknik guru mengajar adalah tertumpu kepada penyampaian fakta-fakta. Pembelajaran murid banyak berbentuk mengingat dan menghafal. Justeru itu, murid kurang berupaya membuat interpretasi. Interaksi diantara murid juga pasif dan sifat-sifat social positif kurang dipupuk. Strategi ini mementingkan pengolahan kaedah keseluruhan kelas. Perbezaan murid dari segi kebolehan dan minat tidak diberi perhatian oleh guru. Akibatnya, dibawah strategi ini, murid-murid menjadi kurang kreatif dan berinisiatif. Strategi ini menggunakan persembahan bahan dalam langkah-langkah kecil dan sistematik dengan hentian untuk menyemak pemahaman murid. Strategi pemusatan guru mengandungi pengajaran yang mempunyai langkah-langkah kecil yang menegaskan latihan amali murid selepas setiap langkah. Peranan guru ialah menyampaikan bahan, membimbing murid pada sesi awal latihan amali dan membekalkan setiap murid dengan amali yang lebih tinggi dan kerap.
Strategi pemusatan murid pula menunjukkan murid memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti ini menjadikan murid sebagai fokus utama dalam proses pembelajaran. Murid-murid digalakkan melibatkan diri secara aktif dalam pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah kumpulan, inkuiri penemuan, perbincangan, penyoalan, penyelesaian masalah, bermain, simulasi dan lain-lain. Strategi ini mungkin lebih sesuai apabila maklumat tidak dapat disampaikan dengan berkesan melalui strategi pemusatan guru dan apabila matlamat pengajaran merangkumi kemahiran kreatif dan kritikal. Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, murid memainkan peranan penting, sedangkan guru hanya sebagai pembimbing kepada murid. Komunikasi dan interaksi diantara guru dan murid adalah dua hala. Guru menggunakan kaedah menyoal dan membimbing murid supaya berfikir dan bertindakbalas memberi jawapan. Ciri kepimpinan guru bersifat demokratik dan murid sentiasa digalakkan memberikan pendapat mereka untuk mencapai objektif pembelajaran murid. Guru mengamanahkan tanggungjawab yang lebih kepada murid.

Strategi ini lebih berkesan dalam mengembangkan kebolehan murid dalam mengaplikasikan konsep dan sikap positif, menggalakkan motivasi, mengembangkan penyuburan diri dan menggalakkan kemahiran sosial berkumpulan. Strategi ini menimbulkan dan mewujudkan persekitaran kelas yang membolehkan murid dapat berinteraksi dengan guru dan murid lain.
Strategi pemusatan berasaskan bahan terbahagi kepada dua kategori iaitu bahan pengajaran dan bahan pembelajaran. Bahan-bahan yang digunakan adalah seperti carta, graf, peta, spesimen, model gambar, slaid video, perakam pita dan projektor. Bahan yang lebih canggih adalah pakej pembelajaran berasaskan komputer, CD ROM, komputer multimedia, caker padat interaktif, bahan daripada internet, persidangan tele dan persidangan video. Strategi ini memupuk sifat-sifat social yang positif khasnya apabila murid dan guru berkongsi sumber dan bahan. Murid akan mendapat pengalaman realistik kerana dapat melihat situasi sebenar atau bahan maujud dan konkrit serta boleh menjadikan proses pengajaran lebih bermakna. Interaksi yang berlaku dalam bilik darjah banyak hala iaitu antara guru dengan bahan, bahan dengan murid dan guru dengan murid dan bahan. Strategi ini mengutamakan kecekapan dan kemahiran murid dalam memanipulasikan pelbagai jenis bahan. Strategi ini sesuai digunakan guru kerana ia menekankan perkembangan jasmani, kognitif dan rohani murid. Pembelajaran berasaskan sumber sangat berguna dalam membantu guru menghadapi murid pelbagai keperluan serta menyediakan pelbagai wahana untuk murid belajar pada kadar masing-masing pada setiap masa dan tempat.
Guru yang menggunakan strategi berasaskan tugasan melibatkan murid dalam aktiviti atau memberi peluang untuk mengamalkan dan mengaplikasikan apa yang sedang mereka belajar. Aktiviti atau tugasan tersebut membuka peluang kepada murid menerima bimbingan, pelbagai strategi mempermudahkan tugasan atau scaffolding bentuk lain yang diperlukan untuk membolehkan mereka melaksanakan tugasan dengan jaya. Aktiviti yang dipilih dengan bijak perlu disampaikan dengan berkesan, dipantau dan diteruskan sekiranya inginkan kesan maksimum. Justeru itu, guru perlu menyediakan murid dengan memberikan bimbingan dan maklum balas semasa aktiviti dan menstruktur refleksi pasca aktiviti selepas sesuatu aktiviti.


Semasa memperkenalkan aktiviti, guru perlu menekankan tujuannya dengan cara yang boleh membantu murid melibatkan diri dalam aktiviti tersebut dengan idea yang jelas akan matlamat yang ingin dicapai. Kebanyakan tugasan bersama dengan murid akan memberi maklum balas tentang persembahan mereka dan mengukuhkan idea utama dengan mengaitkan kepada matlamat keseluruhan. Antara tugasan yang boleh diberikan ialah berlakon, menyanyi, membuat model, perbahasan dan perbincangan.

Strategi Pembelajaran
Guru digalakkan untuk menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk mengoptimumkan pembelajaran. Strategi yang dicadangkan berasaskan pada satu kontinum dari pemusatan guru pemusatan murid. Strategi yang dipilih untuk pengajaran dan pembelajaran efektif mesti memenuhi keperluan pelajar dan ia sesuai dengan iklim sekolah. Antara jenis-jenis strategi bagi strategi pembelajaran ialah strategi direktif, strategi pemerhatian, strategi mediatif, strategi generatif, strategi kolaboratif, strategi “Outside-context” dan strategi metakognitif.
Strategi direktif memerlukan murid belajar melalui penerangan tentang konsep atau kemahiran oleh guru dan kemudian diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan dengan bimbingan guru. Contohnya adalah seperti melalui kuliah dan latih tubi.
Strategi pemerhatian pula memerlukan murid belajar dengan memerhati perbuatan orang lain atau perlakuan sesuatu kemahiran. Antaranya adalah seperti demonstrasi dan model.
Strategi mediatif ialah murid belajar melalui interaksi yang dirancang oleh guru untuk menolong murid. Pertama, ianya memerlukan murid belajar bagaimana untuk mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah. Kedua, membuat keputusan. Ketiga, mengenalpasti andaian dan keempat, menilai kebenaran andaian, keputusan dan hipotesis. Contohnya ialah ‘dialectical reasoning’, ‘concept attainment’, ‘concept formation’, ‘inquiry training’ dan ‘open-ended discussion’.
Strategi generatif pula menggalakkan murid menjana idea kreatif dan kritis. Ia membantu murid menyelesaikan masalah secara kreatif dengan menggunakan idea asli atau unik. Contohnya melalui sumbangsaran, peta minda, ‘synectics’, pemikiran lateral dan kreatif serta metafora.
Strategi kolaboratif pula memerlukan murid bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah iaitu melalui pembelajaran koperatif.
Strategi ‘Outside-context’ ialah murid belajar melalui aktiviti yang berfokus dan intensif dalam satu tempoh masa melalui seminar, bengkel dan projek.
Strategi metakognitif pula memerlukan murid memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan dan penilaian kendiri. Antara contoh-contoh soalan yang boleh difikirkan adalah seperti:
Bagaimana saya boleh mempertingkatkan prestasi saya?
Apakah yang saya telah belajar?
Apakah bantuan yang saya perlukan?

PEMBELAJARAN SECARA KONTEKSTUAL

Definisi
Perkataan kontekstual jika diambil daripada ayat asalnya dalam Bahasa Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) membawa maksud mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud keadaan, situasi dan kejadian. Secara umum, kontekstual membawa dua erti iaitu yang pertama, yang berkenaan, relevan, ada hubungan atau kaitan langsung serta mengikut konteks. Erti yang kedua ialah yang membawa maksud, makna dan kepentingan.
Oleh itu, pembelajaran secara kontekstual iaitu kaedah atau strategi yang dilihat berwibawa untuk mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Konsep Pembelajaran Kontekstual
Pembelajaran secara kontekstual adalah strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan isi pelajaran dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Dengan demikian pembelajaran akan lebih bermakna bagi murid jika maklumat disampaikan dalam konteks yang pelbagai dan bermakna kepada murid seperti dari segi konteks budaya, fizikal, sosial, fizikal dan psikologi. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Penekanan perlu diberi kepada kepelbagaian persekitaran pembelajaran untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Contoh persekitaran adalah seperti di dalam bilik darjah, makmal, di tempat kerja dan semasa menjalani kehidupan seharian.
Pembelajaran kontekstual ini hanya berlaku apabila murid dapat memproses maklumat atau pengetahuan baru dengan cara yang bermakna dalam rangka minda mereka. Pembelajaran ini juga lebih berkesan jika maklumat disampaikan dalam konteks yang pelbagai iaitu dari segi fizikal, budaya, sosial serta psikologi dan bermakna kepada murid.

Pendekatan kontekstual juga merentas pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu matematik, sains, bahasa, teknologi maklumat, komunikasi, kemanusiaan, teknikal dan vokasional.

Kepentingan Pembelajaran Secara Kontekstual Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pembelajaran kontekstual sangat penting atau perlu dalam pengajaran dan pembelajaran kerana murid-murid di dalam bilik darjah mempunyai pelbagai jenis kecerdasan. Pendekatan kontekstual ini menggalakkan guru memilih dan membina persekitaran pembelajaran yang menggabungkan pengalaman-pengalaman yang mereka lalui seberapa banyak yang boleh. Pengalaman-pengalaman yang dilalui termasuklah dari aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan. Melalui persekitaran sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata. Penghayatan konsep diperolehi melalui proses penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan. Dengan ini, murid dapat mengekalkan maklumat dengan lebih berkesan melalui pengalaman sendiri.
Cara tradisional tidak menggalakkan pembelajaran yang mampu membina minda pelajar ke arah pemikiran saintifik seperti mana yang dirasakan amat perlu dikuasai setiap pelajar bagi membolehkan mereka menghayati pelajaran sebagai budaya kehidupan seharian.
Cara penyampaian guru menggunakan kaedah kontekstual secara langsung dan terus, sama ada secara sedar atau tidak, mahu atau tidak mahu, akan membantu guru mengajar dan membantu pelajar mempelajari setiap matapelajaran secara berkesan.
Pembelajaran kontekstual juga mengambil kira pelbagai gaya pembelajaran yang boleh diaplikasikan oleh murid yang mempunyai pelbagai jenis tahap kecerdasan.

Proses “REACT” Dalam Pembelajaran Secara Kontekstual
Menurut modul yang diterbitkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), pelajar akan melalui satu atau lebih daripada bentuk pembelajaran berikut:
R (relating / menghubungkait) iaitu pelajar belajar dalam konteks menghubungkaitkan pengetahuan baru dengan pengalaman hidup.

E (experiencing / mengalami) iaitu pelajar belajar dalam konteks penerokaan, penemuan dan reka cipta.
A (applying / mengaplikasikan) iaitu pelajar belajar dalam konteks bagaimana
pengetahuan atau informasi boleh digunakan dalam situasi lain.
C (cooperating / bekerjasama) iaitu pelajar belajar dalam konteks bekerjasama, memberi maklum balas dan berkomunikasi.
T (transferring / memindahkan) iaitu pelajar belajar dalam konteks pengetahuan sedia ada dan menggunakan atau membina daripada apa yang diketahui.
Prinsip REACT adalah amat penting untuk difahami oleh guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara kontekstual. Menurut Noor Azizah (2002), elemen menghubung kait iaitu ‘Relating’ bermakna mempelajari sesuatu dalam konteks pengalaman hidup. Kurikulum yang cuba menempatkan pembelajaran dalam konteks pengalaman hidup mesti menumpukan perhatian murid kepada taakulan, peristiwa dan situasi harian. Kemudiannya taakulan, peristiwa dan situasi harian itu dikaitkan dengan maklumat baru untuk menyelesaikan sesuatu masalah (Noor Azizah, 2002). Murid juga digalak dan dibimbing untuk mengaitkan pengetahuan sedia ada dengan apa yang dipelajari atau yang akan dipelajari.
‘Experincing’ atau elemen mengalami adalah merujuk kepada pembelajaran aktif murid itu sendiri yang mengalami atau membentuk pengalaman mereka. Prinsip ini penting untuk murid meneroka dan menemukan pengetahuan dengan sendiri dan dapat membuat perkaitan melalui pengalaman yang dialami. Walaupun murid-murid dimotivasikan dengan strategi pengajaran dan pembelajaran seperti aktiviti berasaskan teks, video dan lain-lain, tetapi bentuk ini masih merupakan bentuk pembelajaran yang pasif (Noor Azizah, 2002).
Prinsip REACT yang ketiga ialah aplikasi atau ‘Applying’. Alikasi adalah berdasarkan kepada aktiviti pekerjaan dalam pembelajaran kontekstual (Noor Azizah, 2002). Guru harus memastikan murid dapat melihat perkaitannya antara yang dipelajari didalam bilik darjah dengan dunia luar. Menurutnya lagi, sekolah boleh melakukan aktiviti seperti dalam teks, video, makmal, amali, lawatan kilang, ‘mentoring’ dan latihan kerja.

Elemen seterusnya ialah ‘Cooperating’ iaitu bekerjasama. Pengalaman bekerjasama bukan sahaja membantu kebanyakan murid mempelajari bahan pelajaran, malah ia juga konsisten dengan fokus dunia tentang pengajaran kontekstual (Tan, 2003). Melaluinya, selain daripada murid mendapat pengetahuan, mereka juga dapat belajar untuk ‘cope’ dengan pelbagai situasi seperti pembahagian tugas, kawalan emosi semasa perbincangan, semasa membentang dan seumpamanya. Kemahiran interpersonal yang merupakan salah satu daripada kecerdasan pelbagai juga dapat digilap. Sekaligus, potensi murid dapat diperkembang dengan lebih menyeluruh merangkumi pelbagai aspek.
Yang terakhir sekali, elemen ‘Transfering’ iaitu memindahkan. Secara lazimnya, kebanyakan murid menghadapi situasi pembelajaran yang baru tanpa sebarang kaitan dengan pengetahuan yang sedia ada. Jadi, pemindahan pembelajaran yang lepas adalah penting dan bagi menggalakkan pemindahan ini, tindak balas dari murid adalah mustahak (Noor Azizah, 2002). Menurut Ng (1999) dan Tan (2003), pendekatan ini menyerupai aspek menghubung kait iaitu ia berasaskan perkara-perkara yang lazim dan diketahui. Secara tradisinya, kebanyakan murid menghadapi situasi pembelajaran yang baru tanpa sebarang kaitan dengan pengetahuan sedia adanya. Guru boleh membantu meningkatkan semangat dan keyakinan murid dengan menyediakan titian yang dapat menghubungkan pengalaman pembelajaran baru dengan apa yang telah diketahui oleh murid iaitu melalui proses pemindahan.
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), elemen ‘Transfering’ melibatkan murid belajar dalam konteks pengetahuan sedia ada. Mereka akan memindahkan pengetahuan tersebut samada menggunakan ataupun membina daripada apa yang diketahui. Contohnya murid menggunakan Teorem Pythogoras untuk membuat sudut tegak gelanggang permainan. Aktiviti seperti pertandingan rekacipta umpamanya dapat memupuk elemen ini kepada murid apabila murid menggunakan konsep atau pengetahuan mereka untuk mencipta ciptaan baru mahupun memperelok benda yang sudah ada.

KEMAHIRAN BERFIKIR

Definisi
Costa (1985), mengatakan pemikiran sebagai proses penerimaan rangsangan luar oleh minda melalui deria-deria yang kemudiannya diproses dan digunakan. Menurut Dewey (1933), menganggap pemikiran sebagai usaha memeriksa dan menimbang sesuatu butir maklumat dengan teliti berdasarkan criteria tertentu. Sigel (1984) pula mengatakan pemikiran meliputi aktiviti seperti refleksi pengkonsepan dan penyelesaian masalah. Pressiesen (1987) mengatakan pemikiran sebagai aktiviti mental di mana pengetahuan diperolehi dan diolah melalui proses penaakulan. Beyer (1992), menerusi “Functional Thinking Model” melabelkan berfikir dalam domain kognitif yang pelbagai aras. Aras terendah merupakan kebolehan mengingat dan menyimpan data diikuti kebolehan memproses dan penaakulan. Aras ketiga menerangkan kebolehan kemahiran kritis dan kreatif dan aras tertinggi sekali menentukan kebolehan seseorang menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Keseluruhan proses kognisi ini dikawal oleh satu lagi proses iaitu metakognisi.
Som Hj Nor dan Dahalan Mohd Ramli (1998), merumuskan pemikiran sebagai proses menggunakan minda untuk mencari makna dan pemahaman terhadap sesuatu, menerokai pelbagai kemungkinan idea atau ciptaan danmembuat pertimbangan yang wajar, bagi membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dan seterusnya membuat refleksi dan metakognisi terhadap proses yang dialami.

Kepentingan Kemahiran Berfikir Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran
Dari aspek pendidikan, kemahiran belajar akan mempengaruhi cara pembelajarannya sama ada kepantasan serta keberkesanan pembelajarannya. Kajian-kajian tentang berfikir menunjukkan bahawa murid yang dilatih untuk berfikir mempunyai perkembangan positif terhadap pembelajarannya.
Kemahiran berfikir berupaya meningkatkan penguasaan pengetahuan dan meningkatkan motivasi dalam diri murid. Peningkatan motivasi untuk belajar dengan cara tidak langsung membantu kemahiran berfikir.

Selain itu, semua negara tidak terlepas daripada perubahan dan perkembangan pesat. Maka dengan itu, Malaysia memerlukan rakyatnya berkeupayaan dan berkuasa untuk berfikir selari dengan pembangunan negara dan dunia sekarang. Jika rakyat tiada kemahiran ini, segala hasrat kerajaan tidak akan tercapai dan negara akan menjadi hamba negara maju.
Kemahiran berfikir juga penting untuk memenuhi tuntutan Falsafah Pendidikan Kebangsaan “….mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi (JERI)”. Aspek JERI ini bertujuan melahirkan individu yang bijaksana dan bermoral. Bagaimana ia boleh tercapai? Dalam kemahiran berfikir, ada disentuh tentang akal dan hati dimana pemikiran yang baik ialah pemikiran yang telah mengambil kira kedua-dua akal dan hati.
Latihan kemahiran berfikir juga diperlukan dewasa ini sebagai usaha dalam menjayakan konsep terkini negara seperti KBSR, KBSM, Sekolah Bestari yang mahukan murid berkemampuan bukan sahaja dari segi intelek, malah dalam kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Kemahiran berfikir juga penting dalam merealisasikan Wawasan 2020 yang bertujuan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju dan sejahtera. Terdapat pelbagai cabaran untuk mencapai wawasan ini antaranya mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, gagah dalam menghadapi masalah, membangunkan negara yang demokratik, membentuk masyarakat bermoral dan beretika, liberal, saintifik dan progresif. Untuk menangani cabaran-cabaran ini, cara berfikir dan strategi berfikir yang lebih sesuai dan serasi perlu ditemui.
Berdasarkan keperluan ini, Khalid Mohd Nor dan Mohd Amir Sharifuddin telah menyarankan satu strategi berfikir yang memerlukan pemindahan paradigm dan berfikir secara tradisional kepada berfikir secara lebih kreatif, membangun, meneroka dan proaktif. Penekanan ini perlu kepada perekabentukan, percambahan idea dan kemahiran berfikir. Hasrat Wawasan 2020 jelas menerangkan kepentingan belajar dan mengajar kemahiran berfikir kepada individu yang kita damping. Justeru itu, semua pihak harus mengembeling tenaga untuk menjana pemikiran yang kritis dan kreatif ini terhadap individu pelajar sejak kecil lagi.

Model Kemahiran Berfikir
Model kemahiran berfikir yang telah dicipta oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dikenali sebagai Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK). Dalam model ini kemahiran berfikir dikategorikan kepada empat kategori yang saling berkait antara satu sama lain. Model ini digambarajahkan seperti dalam rajah dibawah.

KEMAHIRAN BERFIKIR KRITIS

Maksud Kemahiran Berfikir Kritis
Kemahiran berfikir secara kritis ialah kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kemunasabahan dan kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan dan kelemahan sesuatu hujah, dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti. Kemahiran-kemahiran mikro dalam kemahiran ini ialah:
Membanding beza
Membuat kategori
Meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan
Menerangkan sebab
Menyusun mengikut urutan
Membuat ramalan
Mengusul periksa andaian
Membuat inferens.

Kepentingan Kemahiran Berfikir Kritis
Kemahiran berfikir kritis begitu penting kerana murid-murid diajar berfikir secara kritis; belajar cara menyoal; iaitu, bila hendak menyoal dan jenis soalan yang hendak ditanya dan belajar bagaimana menaakul; iaitu, bila menggunakan penaakul dan kaedah penaakul yang hendak digunakan. Dalam proses pemikiran kritikal ini, murid perlu memahirkan diri mereka dalam beberapa aspek. Antaranya ialah:
mahir dalam menyatakan sesuatu kenyataan dengan jelas.
berkemahiran untuk mencari jawapan kepada sesuatu persoalan
menumpukan kepada beberapa isi-isi penting
fikiran terbuka


Tiga Proses Dalam Kemahiran Berfikir Kritis
1) Kemahiran Membanding dan Membeza
Kemahiran membanding beza bermaksud kemahiran berfikir yang membolehkan kita meneliti perbezaan dan persamaan dua atau lebih perkara. Perkara yang dikaji boleh merupakan objektif, peristiwa, idea organisma dan sebagainya. Contohnya, membanding beza lori dengan kereta atau ayat pasif dengan ayat aktif. Proses banding beza ini juga tidak berdiri dengan sendiri kerana ia sebahagian daripada proses penyelesaian masalah dan membuat keputusan ekoran daripada melihat perbezaan ini.
Tujuan membanding beza dilakukan adalah untuk menganalisis ciri-ciri yang sepadan dan tidak sepadan dan cuba merangka implikasi daripada analisis tersebut. Selain itu, kemahiran ini dapat membantu kemahiran mikro lain seperti mengorganisasi, membuat definisi dan membuat analogi. Hasil daripada aktiviti ini seharusnya dapat membantu kita membuat keputusan yang bijaksana.

2) Kemahiran Mengklasifikasi
Kemahiran mengklasifikasi adalah merupakan kemahiran berfikir dalam mengelompokkan sebilangan perkara dalam kategori tertentu mengikut ciri-ciri tertentu yang boleh diperhatikan. Contohnya, mengkategori jenis sayur-sayuran, kenderaan, nutrient makanan dan alat-alat muzik.
Tujuan mengkategori atau mengklasifikasi ialah membantu kita mengenal sesuatu perkara dengan lebih mendalam. Dalam zaman ledakan maklumat ini, keupayaan kita untuk mengumpul, mencari dan menyenarai dan mengkategori maklumat dapat membantu kita menyusun dan mengatur maklumat dengan lebih sistematik dan teratur

3) Kemahiran Membuat Urutan
Kemahiran membuat urutan adalah mengatur perkara-perkara mengikut satu susunan berdasarkan criteria yang bermakna. Perkara yang dikaji boleh merupakan sesuatu objek, organisma, idea atau institusi.


Tujuannya adalah untuk mengesan mana-mana perkara yang disusun mengikut turutan dapat dijalankan dengan senang, cepat dan ekonomik. Objek-objek yang disusun mengikut urutan dapat disimpan didalam ruang yang memadai. Sebarang objek yang hilang dapat dikesan dengan cepat. Sesuatu peristiwa yang telah berlaku seperti kemalangan dapat ditinjau semula supaya sebab kemalangan dan siapakah yang bertanggungjawab dapat dikenalpasti. Semasa menyusun tugas secara urutan, kita boleh mengutamakan tugas yang lebih penting.

Aktiviti Murid Berfikir Secara Kritis
Aktiviti Kemahiran Menyusun Mengikut Turutan
Murid perlu membuat menyusun cara memberi bantuan mula bagi apabila melecur:

Sapukan ubat luka.
Sapukan antiseptik bagi mencegah pembiakan bakteria
Tampalkan plaster bagi menutup luka
Cuci luka dengan air bersih.

Jawapan diatas akan disusun menjadi:
1. Cuci luka dengan air bersih.
2. Sapukan antiseptik bagi mencegah pembiakan bakteria
3. Sapukan ubat luka
4. Tampalkan plaster bagi menutup luka.

Lembaran Kerja Kemahiran Berfikir Kritis (1) (Mengkelas)


Kenalpasti ciri-ciri diatas dan cuba kelaskan mengikut jantina.

Lelaki
1) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………
2) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………
3) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………

Perempuan
1) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………
2) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………
3) ………………………………………………………………………………………………
………………………………………………………………………………………………

Lembaran Kerja Kemahiran Berfikir Kritis (2) (Membuat inferens)




1) Perhatikan situasi diatas.
2) Nyatakan mengapa situasi sedemikian terjadi?
……………………………………………………………………………………………………
……………………………………………………………………………………………………
……………………………………………………………………………………………………
3) Apakah akibat-akibat yang akan ditanggung oleh pemandu kenderaan diatas?
……………………………………………………………………………………………………
……………………………………………………………………………………………………
……………………………………………………………………………………………………
4) Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan daripada ia berulang?
a) Pemandu
_______________________________________________________________________
_______________________________________________________________________
_______________________________________________________________________
b) Kerajaan
_______________________________________________________________________
_______________________________________________________________________

KEMAHIRAN BERFIKIR KREATIF

Maksud Kemahiran Berfikir Kreatif
Kecekapan menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan dalam menghasilkan sesuatu yang baru dan asli, sama ada bersifat maujud, abstrak atau idea. Kemahiran mikro dalam kemahiran berfikir kreatif ialah:
menjana dan menghasilkan idea,
mencipta sesuatu yang baru, asli, luar biasa, pelbagai, dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak, idea atau gagasan.
menerokai dan mencari makna , pemahaman dan penyelesaian masalah seacara inovatif.
Kepentingan Kemahiran Berfikir Kreatif
Pemikiran kreatif membincangkan bagaimana cara-cara atau teknik-teknik untuk memperluaskan dan memperkembangkan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti individu untuk mendapatkan dan mengumpulkan banyak idea baru dengan dengan menggunakan pelbagai teknik kreatif. Terdapat empat kepentingan menguasai kemahiran berfikir secara kreatif iaitu:
Untuk memupuk dan mewujudkan pemikiran yang baik dan berkesan.
Untuk mengamalkan budaya berfikir secara kreatif
Untuk mengelakkan kesilapan dalam berfikir
Meningkatkan kualiti dalam berfikir

Tiga Proses Dalam Kemahiran Berfikir Kreatif
1) Menjana Idea (Sumbangsaran)
Menjana idea adalah menghasilkan idea-idea baru yang dapat digunakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau menghasilkan ciptaan baru.
Ia bertujuan untuk membolehkan kita memikirkan sebab-sebab yang mungkin bagi sesuatu perkara. Ia juga menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan pilihan dan penyelesaian untuk dipertimbangkan sebelum membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Kita juga dapat belajar menjana idea-idea sendiri supaya tidak perlu bergantung kepada orang lain sebelum membuat pilihan.

2) Mencipta Metafora
Mencipta metafora menggunakan bahasa figuratif untuk menerangkan makna sesuatu perkara. Metafora menegaskan ciri-ciri sesuatu objek, orang atau peristiwa dengan menggunakan sesuatu perkara lain yang beranalogi untuk menerangkan ciri-ciri dengan jelas dan dramatis. Apabila kita mencipta metafora, kita sebenarnya menggunakan suatu analogi secara figuratif.
Ini bertujuan untuk membolehkan kita memikirkan sebab-sebab yang mungkin bagi sesuatu perkara. Ia juga menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan pilihan dan penyelesaian untuk dipertimbangkan sebelum membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Ia membolehkan kita belajar menjana idea-idea sendiri supaya tidak perlu bergantung pada orang lain sebelum membuat pilihan.

3) Mencipta analogi
Mencipta analogi ialah kemahiran untuk membentuk kefahaman tentang sesuatu konsep secara mengaitkan konsep itu dengan konsep lain, yang mempunyai ciri yanga serupa.
Tujuan membuat analogi ialah untuk membantu kita memahami sesuatu yang abstrak dengan mengaitkan sesuatu yang konkrit yang agak serupa. Contohnya, kita bandingkan sebatang pokok dengan sebuah keluarga. Pokok perlu disiram air, dibaja dan dicantas supaya subur dan mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan keluarga, perlu diberi kasih sayang, makanan, pakaian dan perhatian supaya bahagia. Analoginya ialah keluarga yang bahagia adalah seperti pokok yang sihat.







Aktiviti Murid Berfikir Secara Kreatif
Aktiviti Kemahiran Membuat Keputusan

BERHENTI MEROKOK!!!
1. Kenalpasti alternatif-alternatif yang boleh diambil bagi membuat keputusan.
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
2. Apakah kesan atau akibat dijangka timbul apabila alternatif dilaksanakan, sama ada baik atau buruk.
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
3. Nyatakan pilihan yang terbaik.
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
4. Apakah kriteria utama pilihan tersebut dibuat?
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
5. Apakah keputusan terbaik bagi memenuhi matlamat.
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________


Lembaran Kerja Kemahiran Berfikir Secara Kreatif (1) (Penyelesaian Masalah)



1) Apakah masalahnya?
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
2) Apakah masalah utama dan apakah masalah sampingan?
________________________________________________________________________
________________________________________________________________________
3) Bagaimana cara untuk mengatasi masalah?
- Masalah utama :_________________________________________________________
_________________________________________________________________
- Masalah sampingan: _____________________________________________________
_________________________________________________________________
4) Apakah cara penyelesaian terbaik?
_______________________________________________________________________
_______________________________________________________________________
5) Adakah cara penyelesaian itu berkesan selepas dilaksanakan?
________________________________________________________________________ ________________________________________________________________________

Lembaran Kerja Kemahiran Berfikir Secara Kreatif (1) (Membuat analogi)




1) Bandingkan dua item atau perkara yang tidak sama diatas.
2) Cari sifat-sifat yang sama yang boleh dihubungkaitkan.
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
3) Nyatakan hubungkait sebagai metafora.
____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

PENUTUP

Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif (KBKK) yang bijak dapat menyediakan generasi kini untuk menghadapi kehidupan yang mencabar dunia yang berteknologi tinggi dan berpelbagai budaya. Kepentingan menguasai KBKK adalah termasuk :

Mengelakkan Kesilapan Berfikir
Empat jenis kesilapan berfikir yang umum dan harus dielakkan adalah berfikir secara:
 Terburu-buru iaitu tanpa menggunakan masa untuk meneliti unsur-unsur yang terlibat.
 Sempit iaitu tanpa menggunakan maklumat yang mencukupi dan relevan.
 Kabur iaitu tanpa mengorganisasikan maklumat dan pemikiran secara jelas.
 Bercelaru iaitu tanpa mempertimbangkan semua factor secara sistematik dan teratur.

Meningkatkan Pemikiran Secara Kritis dan Kreatif
Pemikiran yang kritis dan kreatif dapat dipelajari sekiranya latihan yang secukupnya diadakan. Tiga prinsip pengajaran pembelajaran KBKK adalah :
 Pengajaran berfikir dijalankan secara eksplisit, jelas, tersurat dan nyata supaya murid-murid sedar tentang proses berfikir yang dialami.
 Suasana bilik darjah yang penuh dengan timbang rasa supaya murid-murid menghargai pemikiran yang bijak.
 Kemahiran berfikir disebatikan dalam pengajaran kandungan supaya murid-murid dapat memikirkan apa yang dipelajari.

Memperkembangkan Daya Intelek
Pengajaran pembelajaran KBKK dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) adalah sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Peningkatan KBKK juga sesuai dengan konsep Sekolah Bestari yang membolehkan murid-murid menguasai pelajaran mereka berdasarkan sifat-sifat individu sendiri.

Memupuk Pembelajaran Berdaya Fikir
Murid-murid mempunyai pengetahuan awal tentang alam sekitar sebelum mengikut pendidikan persekolahan. Untuk meningkatkan pengetahuan mereka, mereka harus menilai, mengkritik, mengubahsuai dan membina semula pemahaman mereka secara aktif dalam pemikiran mereka. Oleh itu, penguasaan KBKK dapat memupuk pembelajaran berdaya fikir.

Merealisasikan Wawasan 2020
Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri Malaysia, sewaktu melancarkan Wawasan 2020 pada 20 Februari 1991, telah menyatakan bahawa apa yang lebih penting kepada kita semua ialah apa yang berada di antara dua telinga: the brain power atau kuasa otak, bukan apa yang berada di antara dua bahu: the brawn power atau kuasa otot, atau apa yang berada di antara dua tapak kaki: the natural resources atau sumber semulajadi.

Kepentingan Global, Nasional dan Individu
Zaman ini adalah zaman persaingan kekuatan minda dan fikiran. Ledakan maklumat telah menyebabkan situasi di mana bagaiman menguasai pengetahuan lebih penting daripada apa yang dikuasai. Oleh itu, persaingan global yang hebat telah menyebabkan negara kita melancarkan rancangan Multimedia Super Corridor (MSC), di mana kekuatan minda akan membolehkan negara kita mendahului negara-negara yang lain dalam abad ke-21.

No comments:

Post a Comment