Tuesday, April 27, 2010

PENDIDIKAN KESIHATAN HBHE 1103

Kenali Diriku dan Famili

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada kawan-kawan sekalian. Kali ini kita bertemu dalam ruangan Kebersihan Diri. Nama saya Anum binti Salihin dan berumur sepuluh tahun. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar, Kota Tinggi, Johor. Saya tinggal bersama keluarga tersayang di rumah bernombor 36, Jalan Angsa, Johor Bahru.

Kawan-kawan nak tahu tak tentang keluarga saya? Saya mempunyai seorang ibu yang penyayang dan banyak menjaga kebajikan terutamanya kesihatan keluarga saya iaitu Puan Nurisa binti Karim. Beliau seorang yang amat mementingkan tentang gaya hidup sihat keluarga kami. Beliau banyak memberikan tunjuk ajar serta peringatan tentang pentingnya menjaga kesihatan dalam kehidupan agar kami sentiasa sihat dan terlindung daripada pelbagai penyakit yang tidak diingini.

Saya juga mempunyai seorang ayah bernama Salihin bin Sodiqin. Beliau juga seorang ayah yang amat bertanggungjawab serta rajin menasihati kami agar sentiasa menjaga kesihatan agar kami sentiasa sihat dan dapat menjalani aktiviti-aktiviti harian dengan mudah tanpa sebarang halangan.

Tentu kawan-kawan hendak tahu tentang adik-beradik saya, betul tak? Sebenarnya saya mempunyai seorang adik lelaki berumur lapan tahun. Adik saya bernama Salihan bin Salihin dan beliau bersekolah di sekolah yang sama dengan saya iaitu dalam Tahun Dua. Adik juga seorang yang baik dan rajin serta selalu mendengar nasihat dan pesanan daripada ibu dan ayah agar sentiasa menjaga kesihatan.


Kali ini, saya nak bercerita panjang tentang Gaya Hidup Sihat. Kawan-kawan perlu dengar atau baca tentang kisah ini. Ia banyak memberikan manfaat dan kebaikan bukan sahaja kepada diri kita, malah kepada keluarga, agama, bangsa dan negara kita Malaysia. Kita perlulah tahu bahawa menjaga kesihatan adalah amat penting.

BAB 2
Jagalah Kebersihan Diri

Ibu selalu berpesan kepada kepada saya dan adik bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman. Jadi, saya selalu menjaga seluruh badan kita agar bersih dengan selalu mandi. Sebelum mandi, saya menggosok gigi dengan menggunakan ubat gigi yang melindungi saaya dari sakit gusi dan gigi. Ini adalah supaya mulut saya tidak berbau busuk dan gigi saya tidak mudah rosak. Saya memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu selepas makan dan sebelum tidur malam.
Saya akan memberus selama 2 hingga 3 minit setiap kali. Jika saya memberus gigi, ia akan dapat membantu membersihkan sisa-sisa makanan dan plak gigi. Saya juga akan menukar berus gigi apabila bulu berus mula kembang dan haus atau selepas 3 bulan penggunaannya. Saya juga akan menukar berus gigi jika berlaku jangkitan mulut atau kerongkong seperti batuk.

Saya juga selalu mandi agar badan bersih dan segar sentiasa. Semasa mandi, saya akan menggunakan sabun supaya daki dan kotoran pada badan akan hilang, bersih dan wangi keseluruhannya.
Kebersihan tubuh saya, menjadikan saya sentiasa kelihatan sihat dan ceria kerana dengan mandi ia juga dapat menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.
Mandi juga boleh memberikan manfaat seperti mengeluarkan racun toksin dari dalam badan, menjauhkan jangkitan kulit, menyembuhkan selsema dan sakit kepala serta membantu mereka yang mempunyai masalah sukar tidur.
Oleh itu, amatlah penting untuk rakan-rakan sekalian untuk menjaga kebersihan tubuh supaya jauh dari segala macam penyakit kulit dan juga penyakit lain.

BAB 3
Mari Makan…


Kawan-kawan nak tahu tak? Ibu dan ayah selalu berpesan agar saya perlu mengikut jadual waktu makan iaitu 3 kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari serta makan malam dan makan snek antara waktu makan, contohnya, susu, buah dan sandwich.
Kata ibu, makanan berkhasiat penting untuk saya kerana ia membekalkan nutrien untuk perkembangan dan pertumbuhan serta membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental. Ia juga membantu dalam mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan.
Adalah lebih baik jika kita makan makanan seimbang untuk makanan harian mengikut Piramid Makanan Malaysia. Makanan yang saya makan adalah makanan yang rendah kandungan gula, garam da lemak.

BAB 4
Ceria Dengan Senaman


Demi kesihatan, saya dan keluarga kerap bersenam setiap pagi selama 20 minit bersama-sama. Kawan-kawan, senaman itu amat penting untuk ia membentuk sistem jantung dan tahap ketahanan otot seseorang. Komposisi badan juga akan bertambah baik dengan senaman.
Senaman perlu dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya 20 minit sehingga mencapai degupan jantung tidak kurang dari 120 denyutan seminit.

BAB 5
Saya Perlukan Tidur Dan Rehat Yang Cukup

Kawan-kawan mesti tetapkan masa tidur macam saya. Saya mesti masuk tidur pada pukul 9.00 malam agar tenaga saya kembali pulih untuk aktiviti seterusnya pada keesokan hari. Ia juga baik untuk jantung kerana ia dapat berehat.
Manakala waktu rehat saya akan isi dengan melakukan aktiviti ringan seperti menonton televisyen, mambaca majalah, mendengar muzik dan bersiar-siar.
Kawan-kawan juga perlu tahu bahawa sebagai seorang pelajar perlu mempunyai pengurusan waktu rehat dan tidur yang baik agar kita dapat belajar dengan lebih berkesan dan juga mempunyai kesihatan yang baik.

BAB 6
Periksalah Kesihatan


Kawan-kawan, kita tak perlu takut untuk menjalani pemeriksaan kesihatan jika doktor dan jururawat datang melawat ke sekolah. Doktor dan jururawat akan menilai status kesihatan saya bagi menentukan tahap kesihatan saya seperti ujian penglihatan, kebersihan diri dan lain-lain.
Doktor dan jururawat juga akan memberi suntikan imunisasi kepada saya mengikut tahap umur seperti BCG (dos tambahan), difteria, polio, tetanus dan rubella, jika saya memerlukannya.
Mereka juga ada mempromosikan kesihatan iaitu dengan menyampaikan pendidikan kesihatan secara formal dan tidak formal serta memberikan pendedahan kepada saya tentang kepentingan penjagaan kesihatan dan keselamatan.

BAB 7
Mencegah Lebih Baik Dari Merawat


Kawan-kawan, kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat iaitu makan secara sihat, rajin-rajin melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, tidak merokok serta belajar menangani stres.

Banyak faedah yang boleh kita dapati dengan mengamalkan gaya hidup sihat iaitu ia dapat meningkatkan status kesihatan, mengurangkan risiko kita daripada mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, serangan jantung, strok (angin ahmar) dan tekanan darah tinggi.
Selain itu, dengan mengamalkan budaya gaya hidup sihat akan membuatkan kawan-kawan kelihatan dan berasa lebih baik. Ia juga membolehkan kawan-kawan memiliki stamina dan keupayaan lebih untuk menikmati kehidupan.

No comments:

Post a Comment